Dari Abu Zar, iaitu Jundub bin Junadah r.a., katanya: “Saya berkata: Ya Rasulullah, amalan manakah yang lebih utama – banyak fadhilahnya?” Beliau s.a.w. menjawab: “Iaitu beriman kepada Allah dan berjihad untuk membela agamaNya.” Saya bertanya lagi: “Hamba sahaya manakah yang lebih utama?” Beliau s.a.w. menjawab: “Iaitu yang dipandang terindah bagi pemiliknya serta yang termahal harganya.”
Saya bertanya pula: “Jikalau saya tidak dapat mengerjakan itu -yakni berjihad fi-sabilillah ataupun memerdekakan hamba sahaya yang mahal harganya, maka apakah yang dapat saya lakukan?” Beliau s.a.w. bersabda: “Berilah pertolongan kepada seseorang pekerja – shani’ – atau engkau mengerjakan sesuatu kepada seseorang yang kurang pandai bekerja – akhraq.” Saya berkata pula: “Ya Rasulullah, bukankah Tuan telah mengetahui, jikalau saya ini lemah sekali dalam sebahagian pekerjaan?” Beliau s.a.w. bersabda:
“Tahanlah keburukanmu, jangan sampai mengenai orang banyak, amalan sedemikian itu pun merupakan sedekah daripadamu untuk dirimu sendiri – yakni tidak mengganggu orang lain.” (Muttafaq ‘alaih)
Lafaz Shani’ – yang ertinya pekerja – dengan menggunakan shad muhmalah, itulah yang masyhur. Tetapi ada riwayat lain yang menyebutkan bahawa kalimat itu berbunyi dha-i’, yakni dengan mu’jamah – dhad, maka ertinya ini ralah orang yang mempunyai banyak apa-apa yang hilang, misalnya kerana kefakirannya ataupun kerana kekurangan keluarga-keluarganya dan lain-lain lagi. Adapun akhraq itu ertinya ialah orang yang tidak dapat memperbaguskan apa-apa yang sedang diusahakan untuk mengerjakannya.
Dari Abu Zar r.a. juga bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Setiap ruas tulang dari seseorang di antara engkau semua itu setiap paginya hendaklah memberikan sedekahnya, maka tiap setasbihan – bacaan Subhanallah – adalah sedekah, tiap setahmidan -bacaan Alhamdulillah – adalah sedekah, tiap setahlilan bacaan La ilaha illallah – adalah sedekah, tiap setakbiran – bacaan AllahuAkbar – adalah sedekah, memerintah pada kebaikan adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah dan yang sedemikian itu dapat dicukupi – diimbangi pahalanya – oleh dua rakaat yang seseorang itu bersembahyang dengannya di waktu dhuha – antara sedikit setelah terbitnya matahari sampai matahari di tengah-tengah atau istiwa’.” (Riwayat Muslim)
Dari Abu Zar juga, katanya: “Nabi s.a.w. bersabda: “Ditunjukkanlah padaku amalan-amalan ummatku, yang baik dan yang buruk. Maka saya mengetahuinya dalam golongan amalan-amalan yang baik adalah menyingkirkan sesuatu yang berbahaya dari jalan, sedang dari golongan amalan-amalan yang buruk ialah dahak yang dilakukan di dalam masjid dan tidak ditanam.” (Riwayat Muslim). (Sumber: Riyadhush Shalihin).*